Setiap kali tiba bulan Ramadan, alasan yang sama sering diberikan; gastrik dan tidak boleh tahan lapar menyebabkan seseorang individu Muslim itu tidak mampu menjalankan Rukun Islam yang ke tiga. Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?

Gastritis dan Fisiologinya
Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut.
Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Ini menghasilkan antaranya sakit perut, sakit pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, perut berangin atau pedih, perut kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.
Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH 1 hingga 2 yang mampu mencernakan makanan. Sebenarnya, tahap keasidan ini amat kuat sehingga mampu menghakis besi ! Justeru, sel perut badan akan menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.
Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut. Manakala mereka yang mengadu sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.
Teknik Pemakanan di bulan Ramadan
Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat. Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul .
Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka. "Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman. Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.
Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Semasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur. Mengenai hal ini Dr. Malik berkata, semasa berbuka kita dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering.
Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan. Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga. Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat. Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan. Tabiat ini amat penting untuk badan kerana sahur ibarat mengambil sarapan pagi.

Punca Gastrik
Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres. Oleh itu, gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.
Mereka yang mempunyai simptom gastrik, kerana itu, disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut. Bagi masalah yang berpunca daripada bakteria, ia boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik. Walaubagaimanapun, masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.
Atas sebab-sebab sebeginilah Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.
"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan. Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya mengakhiri temubual.
P/S:to all docters n docter to be..perubatan seharusnya kita jinjing berlandaskan agama(fikh perubatan)
https://www.facebook.com/pages/Fiqh-Perubatan/285762364805529
for more detail..ukhwah fil sabililah
No comments:
Post a Comment